Me the Author

Me the Author
My Collection

Isnin, 30 Mac 2009



SERIK




“Seorang siswazah bernama Maimun, 22 tahun didapati bersalah kerana telah melakukan hubungan seks di luar nikah bersama seorang lelaki bernama Samat Ali, juga 22 tahun. Maimun yang kini sedang mengandung tiga bulan juga didapati bersalah kerana telah mencuba menggugurkan anak di dalam kandungannya itu. Kedua-dua pesalah dijatuhkan hukuman penjara dua tahun. Memandangkan keadaan Maimun yang sedang mengandung, dia terlepas dari hukuman sebat manakala Samat Ali akan disebat 100 kali. Mereka harus bernikah dan upacara pernikahan akan diadakan di pejabat pendaftaran perkahwinan Islam yang akan dihadiri oleh keluarga kedua-dua pihak dan pegawai polis. Hukuman penjara akan tetap dijalankan selepas upacara tersebut.”

“Tidak!Tidak! Aku tidak pernah cuba menggugurkan bayi ini.Tidakkkk!”

*********

“Hoi Minah Jenin, bangun! Pagi-pagi buta menjerit macam orang gila,” Wati mengejut adiknya Maimun yang sedang mengigau.

“Astaghfirullahalazim. Aku mimpi eh Wati?” Maimun tersedar dari igauannya.

“Ya Minah Jenin kau mimpi. Eh kakak nak Tanya sikit. Kenapa kau sebut pasal bayi dalam kandungan sewaktu kau ngigau takdi? Ni mesti ada apa-apa tau,” Wati cuba mengorek rahsia.

“Eh? Mun cakap begitu eh? Alah merepeklah kak. Kata mimpi. Mainan mimpi sahaja.” Maimun menjawab selamba sambil mengesat peluhnya yang menitis-nitis dari dahinya.

Selepas Wati keluar dari bilik itu, Maimun termenung. Mimpinya tadi amat mengerikan. Tiba-tiba dia teringatkan Samat, kekasih lamanya. Hatinya mula gementar. Bagaimana jika mimpi tadi menjadi suatu kenyataan?

“Tak mungkin aku mengandung. Tak mungkin. Ah. Itu hanya mimpi sahaja,” Maimun berbisik dalam hati.

Jam di dinding menunjukkan pukul tujuh pagi. Pukul lapan Maimun harus beredar dari rumah untuk ke sekolah. Tanpa berlengah lagi Maimun mengangkat kakinya lalu menuju ke bilik air. Kakaknya, sudah pun pergi ke dapur untuk bersarapan sebelum mengangkat kaki menuju ke sekolah yang tidak jauh dari rumah mereka.

Maimun lewat menghadiri kelas pada pagi itu.. Sejurus dia melangkahkan kakinya ke bilik darjah, pergerakannya diperhatikan sehingga dia meletakkan punggungnya ke atas kerusi. Maimun berasa gelisah apabila dipandang sedemikian rupa. Pandangan yang tajam itu meninggalkan seribu tanda tanya kepada diri Maimun. Adakah mereka tahu apa yang telah dia dan Samat lakukan. Maimun cuba melupuskan fikiran negatif itu dan mengalih tumpuannya kepada gurunya yang sedang menjelaskan tugasan yang harus dihantar bulan hadapan.

Bermacam-macam perkara bermain di dalam kotak fikiran Maimun. Tugasannya masih belum selesai sedangkan bulan hadapan harus dihantar dan Maimun belum membuat penyelidikan intensif. Wajah Samat pula masih bermain di kelopak matanya walaupun sudah sebulan mereka berpisah.

“Hoi Minah Jenin. Berangan lagi. Dengar tak apa Encik Lee kata tadi?” Kakaknya yang sekelas dengannya menyapa Maimun yang juga dikenali sebagai Minah Jenin kerana sikapnya yang suka berangan-angan.

“Dengar. Dengar,” Maimun tersentak dari lamunan.

“Apa yang kau dengar?”

“Encik Lee kata tugasan dihantar bulan hadapan,” Maimun menjawab selamba.

“Ah. Tu lah kau. Berangan lagi. Termenung lagi. Lebih baik kau balik asrama tidur dan sambung mimpi kau,” Wati berseloroh.

“Mun, kau ni dah kenapa. Semenjak beberapa hari ni kau asyik termenung sahaja. Kau ada masalah ke? Pasal Samat?”

Wati yang telah memerhatikan kelakuan dan perubahan adiknya itu cuba mengetahui masalah yang dihadapi oleh Maimun tetapi Maimun terlalu pandai menyimpan rahsia tanpa meninggalkan apa-apa tanda.

“Apa Encik Lee kata tadi? Mun fikirkan tentang tugasan ah. Lepas ni Mun rasa Mun nak pergi perpustakaan,” Maimun cuba mengelak dari menjawab pertanyaan Wati.

Maimun sedar Wati adalah seorang kakak yang amat menitip beratkan tentang hal ehwal dirinya tetapi dia masih belum bersedia untuk berkongsi masalahnya dan meluahkan perasaannya kepada Wati. Maimun juga takut kakaknya itu akan memberitahu ibu dan bapa mereka. Maimun takut dicemuh. Maimun takut dimarahi oleh kakaknya yang warak orangnya.. Watilah yang menjadi Ustazah kepada Maimun. Maimun senantiasa di beri ceramah pendek oleh Wati jika dia membuat sebarang kesilapan.

Maimun tidak pergi ke perpustakaan. Dia terus menuju ke rumahnya dan merebahkan diri ke atas katilnya sehingga terlena sebentar. Beberapa minit kemudian mimpi pagi tadi kembali.

“Maimun dan Samat Ali. Sebagai seorang pelajar yang beragama Islam, kamu berdua pasti sedar undang-undang dan tuntutan agama Islam. Kamu berdua bukan budak kecil lagi. Kamu tahu apa hukuman mereka yang berzina? Kamu sepatutnya tahu membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Yang mana haram dan yang mana halal! Sekarang kamu berdua harus bertanggungjawab ke atas kelakuan kamu itu.”

“Maafkan saya Yang Arif. Saya berjanji tidak akan buat lagi. Saya tidak akan mengulangi perbuatan terkutuk itu. Ampunkan saya Yang Arif. Tolonglah saya, jangan humbankan saya ke dalam penjara itu.”

“Awak Maimun. Awak sepatutnya malu atas perbuatan awak itu dan bukan dari saya yang awak harus meminta maaf. Sudahkah awak memohon keampunan kepada Tuhan? Sudahlah buat kelakuan terkutuk itu, sanggup pula mahu menggugurkan anak di dalam kandungan? Awak mahu jadi pembunuh? Hukuman harus dijalankan kepada yang bersalah. Jika undang-undang tidak diketatkan terhadap pesalah seperti awak, bumi ini akan dipenuhi dengan pembunuh, anak luar nikah. Perbuatan seks luar nikah akan berleluasa. Orang seperti awak tidak boleh dibiarkan kerana ini akan membahayakan masyarakat. Biarkan hukuman seperti ini menjadi pengajaran kepada anak-anak muda di luar sana.”

“Yang Arif. Tolonglah saya. Saya bersumpah tidak akan melakukannya lagi. Janganlah hukum saya Yang Arif. Saya bertaubat Yang Arif.”

“Mohon keampunan kepada Tuhan! Bukan saya. Saya hanya menjalankan tugas. Jadikan peristiwa ini sebagai iktibar supaya awak tidak berani dan mengharamkan diri awak dari mengulangi perbuatan seperti ini! Tertuduh, Maimun dan Samat Ali didapati bersalah menurut akta seksen 211, kesalahan seks di luar nikah. Mahkamah akan menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun dan sebat 100 kali kepada Samat Ali dan penjara setahun kepada Maimun. Merekah akan bernikah selepas Maimun melahirkan bayi di dalam kandungan.”

“Tidakkk!!!!”

*********

“Mun!Mun! Bangunlah! Minah Jeninnnnn!!!!” Wati memekik ke dalam telinganya sambil mengoncang-goncangkan badan Maimun yang sedang meronta-ronta.

“Astaghfirullahalazim. Kenapa kakak pekik?” Maimun terkejut dari tidurnya.

“Aku dengar tadi kau nak pergi perpustakaan. Di sini rupanya perpustakaan kau? Banyak buku dah kau dapat dari katil kau ni?” Wati mengusiknya.

Maimun terduduk sekali lagi di atas katilnya lalu mengimbas kembali mimpi ngerinya itu. Tubuhnya dibasahi peluh seperti orang yang baru selesai berolahraga. Dadanya berdegup dengan pantas. Kali ini Maimun betul-betul terusik dengan mimpinya tadi. Dia menjadi lebih takut. Mimpinya seperti suatu kenyataan. Bukan sekali dua Maimun bermimpi kisah yang sama tetapi sudah berkali-kali. Maimun mula gelisah. Kali ini Maimun bertekad akan berkongsi kegelisahannya. Tetapi Maimun malu dan takut untuk menceritakan hal yang sebenar. Lagipun ini adalah hal peribadinya. Mengapakah dia harus mencemar nama baiknya kepada orang lain walaupun darah dagingnya sendiri? Tetapi, igauannya sentiasa menghantui fikirannya. Maimun benar-benar khuatir mimpinya itu menjadi suatu kenyataan.

“Minah Jenin! Minah Jenin! Kau ni lebih teruk dari Mat Jenin. Peperiksaan akhir tahun akan tiba tak lama lagi. Kita dah kesuntukan masa Minah Jenin oi. Kalau gagal tak balik modal.,” Wati menasihatinya sambil membongkar almarinya untuk mencari buku-bukunya.

Maimun termenung lagi.

“Mun oh Mun! Kau tahu tak Samat sakit kuat.”

“APA?! Samat Ali sakit? Sakit apa? Dah jumpa doktor?! Doktor cakap apa?!Mana kau tahu?” Maimun semakin gelisah.

“Eh! Relakslah. Yang kau gelisah sangat kenapa? Aku tahulah kau sayangkan si Samat tu tapi janganlah menggelabah,” Wati semakin hairan dengan kelakuan adiknya itu.

“Irwan beritahu aku tadi. Sakit apa tu aku tak tahu tapi teruk juga. Sudah beberapa hari ni dia tak hadir kuliah. Dia ada penyakit ke Mun?” Wati menjelaskan kepada Maimunah yang semakin gelisah menunggu jawapan Wati.

“Manalah Mun tahu. Mun bukan doktor dia. Eh! Tapi doktor tak cakap apa apa ke tentang penyakit dia tu?”

“Lain macam sahaja kau Maimun. Ada apa-apa ke? Kau sembunyikan dari kakak sesuatu kan?” Wati bersungguh-sungguh cuba mengetahui hal si Maimun.

Maimun buntu. Dia terpaksa memberitahu hal sebenar. Dia sudah tidak dapat lari daripada kakaknya yang asyik bertanyakan tentang masalahnya. Maimun betul-betul khuatir. Kalau dia betul-betul mengandung siapa yang akan bertanggungjawab? Maimun mulakan ceritanya dengan penuh kekesalan.

*********
“Jangan takutlah Maimun, Abang tak akan buat apa-apa. Maimun takut dengan abang ke? Lagipun Maimun Cuma nak ambil nota-nota abang kan? Lagipun Irwan ada di rumah. Takkan abang nak buat perkara tak senonoh terhadap Maimun di hadapan Irwan.” Samat cuba memujuk Maimun.

“Betul Irwan ada? Abang jangan bedek. Nanti kita ditangkap kerana berdua-duaan dalam rumah tu. Sekejap aje tau. Lepas ambil nota hantar Maimun balik.”

Malam itu malam Jumaat. Kebetulan Irwan, adik Samat tiada di rumah. Maimun duduk di atas katil sambil menunggu Samat mengambil nota-notanya dari almari Irwan. Suasana di bilik sepi. Cahaya lampu di siling semakin pudar kerana sudah lama tidak diganti dengan lampu yang baru. Hujan renyai-renyai di luar menyejukkan lagi suasana. Maimun berpeluk tubuh sambil menunggu. Selepas selesai mengumpulkan semua nota-nota yang digunakannya semasa di tahun pertama, Samat menghampiri Maimun dan duduk di sebelahnya sambil menunjukkan nota-notanya itu. Semasa Maimun membelek-belek nota-nota tersebut, Samat memandang tajam ke arah wajah Maimun yang manis itu. Bulu romanya semakin tegang. Tubuhnya kesejukan. Samat mendekatkan tubuhnya menghampiri tubuh Maimun. Samat memanggil nama Maimun dengan penuh manja dengan suara yang lembut dan lunak.

**********
Maimun berhenti bercerita lalu menangis.

“Lepas tu apa terjadi?” Wati mendengar kisahnya dengan khusyuk.

“Mun malu Kak. Mun malu. Mun tidak sangka Mun begitu lemah. Mun tidak berdaya melawan nafsu. Tapi Kakak janji jangan beritahu Ibu dan Ayah tau. Janji Kak. Janji,” Maimun cuba memujuk.

Wati terdiam sejenak. Dia tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi. Wati memeluk erat tubuh Maimun. Mahu dimarahinya Maimun tetapi perkara sudah berlaku. Mahu dipujuknya tetapi berasa geram terhadap kelakuan adiknya yang menjijikkan itu.

“Kau ada jumpa doktor? Dah berapa bulan haid kau tak datang?”

“Mun tak berani. Sudah dua bulan Mun tidak datang haid.”

“Kalau betullah kau mengandung, si Samat sanggup memikul tanggungjawab ini?”

“Mun tak tahu. Mun betul-betul buntu,” Maimun teresak-esak.

Keesokan harinya Wati membawa Maimun ke klinik swasta untuk menjalani ujian air kencing. Wati memaksa Maimun memeriksa adakah dia mengandung. Mereka menunggu keputusan dengan penuh debaran. Maimun yang sedang menunggu dengan gelisah mula berfikir yang bukan-bukan tentang masa hadapannya. Bagaimanakah dia harus menghadapi masyarakat. Bagaimanakah harus dia beritahu keluarganya. Keluarganya pasti akan benci kepadanya. Maimun telah menconteng arang ke muka keluarganya. Maimun menyalahi Samat. Samatlah punca keadaan menjadi buruk. Tetapi dirinya juga harus dipersalahkan. Dia lemah. Lemah melawan nafsu.

“Miss Maimun.” Giliran Maimun untuk masuk ke bilik doktor.

Wati menunggu dengan debaran. Wati mula terbayang jika adiknya itu benar-benar mengandung. Bagaimanakah dia akan menghadapi teman-teman di sekolah dengan perutnya yang besar? Sungguh memalukan jika seorang pelajar yang bijak seperti Maimun sepatutnya menjadi role model telah mencemar nama baik dirinya sendiri.

“Kakkk!” Maimun bergegas lari menuju ke arah Wati lalu memeluk erat tubuh Wati.

“Positif ke negatif,”

“Negatif!”

“Nasib kau baik.”

“Alhamdulilah.”

“Ye Maimun. Memang nasib kau baik tak mengandung. Tapi kau telah melakukan sesuatu yang menjijikkan. Melakukan suatu dosa yang besar. Balik jangan lupa bertaubat.” Wati menyindir.

“Hai. Kalau aku tahu aku tak beritahu si Ustazah ni. Kan dah kena bersyarah,” Maimun berbisik di dalam hati sambil tersenyum simpul memerhatikan surat keputusan ujian air kencingnya itu.

“Lepas ni jangan pula kau ulangi perbuatan terkutuk tu lagi. Sebelum terjadi lebih baik berhati-hati. Jangan fikir kali ini kau terlepas daripada bencana ini kau ulangi sesuka hati kau,” Wati menasihatinya lagi.

“Manusia ni takkan menyesal atas perbuatannya selagi perkara yang buruk belum menimpa dirinya. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.”

Wati membalasnya dengan senyuman yang sinis.

Untuk di kongsi bersama......pembaca yang budiman

Pergi Tak Kembali"
Mohamad Asha’ari Yunos (NIE)


"Aaarrrrggggghhhhhh!!!! Baaaannnnggggsssssaaaattttttt !!!!"
Angin di luar amat bertiup sepoi sepoi bahasa, mengasyikkan mereka yang mengantuk tetapi bukan bagi dirinya yang baru menyambut hari jadinya yang kelima belas, tidak berapa lama dahulu. Hatinya amat pedih sekali. Pedih yang teramat dirasainya. Pedih memendam segala kekecewaan yang amat sangat.
"Ya Tuhan! Kenapa aku diseksa? Kenapa?! Kenapa??!!!"
Beliau menangis keseorangan di kamarnya yang agak malap. Api pelita menari liang-liut mengikuti hembusan angin yang bertiupan sepoi-sepoi bahasa. Pemikirannya berkecamuk sekali.
"Adakah aku ni insan terkutuk? Sehinggakan aku diduga dengan sedemikian
rupa?"
Air matanya menitis ke atas lantai kamarnya. Lantainya basah dan segala habuk jelas kelihatan menunjukkan kamarnya jarang membersihkan. Tiba-tiba.....
"Hei! Kenapa engkau menangis?"
Beliau tersentak dengan teguran itu. Beliau mula berasa takut kerana di dalam kamarnya, tiada ada orang lain melainkan dirinya sendiri. Matanya mencari-cari tuan punya suara itu.
"Siapa engkau?"tanyanya dalam ketakutan. Namun, tiada jawapan.
"Siapa engkau hah?! Tunjukkan dirimu!"

Asap mula berkumpul di dalam kamarnya. Beliau terbatuk-batuk dek terhidu kepolan-kepolan asap yang memenuhi biliknya. Asap yang mula menebal itu mula melahirkan satu lembaga. Lalu, terjelma satu lembaga di hadapannya. Beliau terpegun melihat lembaga di hadapannya. Lembaga itu berpakaian seperti seorang hulubalang Melayu. Misainya tebal, tubuhnya sasa. Segak, dengan kerisnya yang terselit di pinggang. Aneh. Ada kesan darah di bahagian perutnya.
"Siapa engkau?"nadanya tinggi.
"Aku adalah engkau! Aku hidup tertekan seperti engkau juga!"
"Kenapa kau mengacau aku?"tanyanya lagi, memberanikan diri, memandangkan lembaga itu tidak akan mengapa-apakan dirinya.
"Kita dari keturunan yang sama! Nasib kita serupa! Aku disini untuk
memastikan engkau tidak membuat kesilapan yang akan membawa maut ke atas
diri engkau!"
Beliau tersentak dengan jawapan lembaga itu. Dia tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh lembaga itu. Kehadiran lembaga itu membangkitkan rasa kemusykilan tetapi beliau tidak menunjukkannya. Beliau memberanikan lagi dirinya walaupun jantungnya berdegup pantas.
"Apa maksud kau?! Aku akan mati? Di tangan siapa? Untuk apa? Aku tidak
takut dengan sesiapa pun!"
"Kau akan mati di tangan seseorang yang lebih berkuasa daripada engkau!
Engkau akan mati dalam keadaan yang menggerunkan dan menjijikan. Engkau
akan mati kerana keangkuhan diri engkau sendiri!"
"Apa? Engkau ni siapa untuk berkata begitu? Bukankah takdir di tangan
Tuhan? Waad ajal di tangan Allah!"
"Ya! Takdir di tangan Tuhan dan aku penyampaiNya. Engkau masih belum
menyedari bahawa engkau telah lupa kepada Tuhan. Tuhan menghantar aku ke
sini untuk menyedarkan engkau!"
"Siapa engkau? A.. Ap..App...Apa kesalahan aku?" tanyanya yang mula merasa ketakutan. Lembaga itu mula menghampirinya.
"Kau telah melakukan banyak kesalahan! Ingatkah engkau akan kesalahan
engkau? Kau hendak melakukannya tanpa sebarang peri kemanusiaan. Apa yang
akan kau alami adalah pembalasan kau!"
Beliau tidak berkata apa-apa. Dia cuba mengingati kembali apa yang telah dilakukannya. Beliau tidak tahu maksud sebenar lembaga itu tetapi dapat merasakan peristiwa pahit yang berlaku tidak lama itu menjadi isu yang membawa lembaga itu ke dalam kamarnya.

Pagi itu, beliau hendak pergi ke sekolah seperti biasa. Ibunya terbatuk berulang kali tetapi tidak menghiraukannya. Sudah beberapa kali beliau mengingati ibunya untuk memakan ubat tetapi ibunya tidak mahu. Beliau telah berputus asa lalu tidak mengendahkan lagi keadaan ibunya.
"Nanti habis sekolah terus balik ya Man!"
"Tengoklah. Ada kelas malam. Mungkin Man terus pergi."
Beliau terus keluar tanpa melihat ibunya. Ibunya hanya memerhatikan anaknya. Sedih rasanya kerana anaknya tidak melambai ke arahnya sedangkan dia terlambai-lambai dari atas. Anaknya telah berubah sejak mula bersekolah malam. Asyik pulang lewat dan kadang-kadang, anaknya tidak pulang langsung. Air mata ibunya mula menitis. Agak sedih sekali rasanya memandangkan beliau bersusah-payah membesarkannya dengan didikan dan asuhan yang baik agar menjadi anak yang soleh. Malangnya, anaknya telah menghampakan niatnya itu.

Tiba di sekolah, beliau mendapat tahu beliau terlupa untuk membuat kerja rumah yang harus dihantar pada pagi itu. Beliau menggelabah dan terus ke makmal komputer untuk membuat kerja rumahnya. Masa amat suntuk sekali. Beliau cuba sedaya upayanya untuk menghabiskan tugasannya itu.
"Celaka! Hang pulak...Macam mana ni? Lambat, pasti kena denda," bisik hatinya.
Dengan pantas, beliau pergi ke komputer lain untuk terus menghabiskan tugasannya. Akhirnya beliau dapat memghabiskan tugasannya. Beliau melihat jam tangannya. Sudah lewat dan gurunya pasti akan mendendanya.

Tepat sekali kerana beliau didenda oleh gurunya kerana memasuki kelas amat lewat sekali. Gurunya meleteri sikapnya yang acuh tak acuh terhadap pelajarannya. Gurunya membandingkan dirinya dengan rakan sedarjahnya. Dapat diihat perbezaan sikap yang amat ketara, memandangkan beliau telah dikategorikan sebagai pelajar bermasalah di sekolahnya.

Beliau tidak dapat memberikan alasan yang munasabah ke atas kelewatannya lalu didenda untuk menghadiri "detention class" pada jam dua hingga empat petang nanti. Beliau merungut dalam hati...

Masa berlalu begitu perlahan sekali sekali. Beliau merungut memandangkan ada satu jam lima puluh minit lagi sebelum dia dapat tinggalkan sekolahnya. Matanya mulai terasa berat untuk membaca buku yang diberi oleh gurunya tadi. Rasa bosan mula menguasai dirinya dan beberapa detik kemudian, beliau tertidur.
"Man...."
"Huh? Ibu?"
"Man, Ibu pergi dulu ya Man... Man jangan lupa balik rumah terus lepas sekolah,"
"Man ada kelas malamlah! Nanti Man balik lepas tu!"
"Man... Ibu pergi dulu....Ibu pergi dulu........."
"Man!!!"
Beliau tersentak lalu terjaga dari tidurnya. Gurunya berdiri dihadapannya dengan muka yang bengis.
"Tidur ya! Bukannya nak baca buku! Macam ni, awak pergi cuci kereta saya
sampai bersih. Selagi tidak bersih, awak tak boleh balik!" perintah gurunya.
"Tap.. tappiii cikgu.."
"Pergi!"
Beliau menyumpah nasibnya pada hari itu. Malang sungguh. Tugasan tak habis buat, kena marah, kena detention dan sekarang kena cuci kereta pula. Terpaksa membuatnya seorang diri di bawah terik matahari.

Beliau selesai membersihkan kereta gurunya. Jam menunjuk empat setengah petang. Ada satu jam lebih sebelum kelas malamnya bermula. Setelah mendapat lampu hijau daripada gurunya, beliau terus meninggalkan sekolahnya lalu singgah di kedai permainan video. Beliu sudah gian untuk main permainan video kerana sudah lama tidak dapat bermain. Setelah puas bermain,beliau pun terus ke kelas malamnya.

Seperti biasa, beliau duduk di barisan belakang bersama rakan-rakannya yang lain. Sudah menjadi satu kebiasaan mereka untuk tidak menghiraukan apa yang diajar oleh guru mereka. Mereka berbual, bermain pakau dan kadang-kala mengusik pelajar-pelajar yang lain, terutama sekali yang perempuan. Beliau gemar mengusik pelajar perempuan dan ada beberapa kali beliau ditangkap oleh gurunya kerana cuba menyelak kain pelajar perempuan di kelas malam itu. Beliau hanya diberi amaran agar tidak melakukan perbuatan itu lagi, tetapi beliau tidak menghiraukannya. Malah, menjadi satu pertandingan di kalangan rakan-rakannya. Siapa yang dapat melihat warna seluar dalam mangsanya akan diisytiharkan sebagai pemenang untuk hari itu. Mereka akan memulakan pusingan yang baru pada hari berikutnya.

Setibanya di hadapan pintu rumahnya, jam menunjukkan sebelas malam. Beliau yang telah membuka pintu dan agak menghairankannya kerana rumahnya dalam keadaan gelap gelita tetapi suara radio jelas kedengaran. Beliau memetik suis lampu dan sinaran lampu menerangi rumah yang gelap tadi. Beliau berasa hairan kerana menjadi kebiasaan lampu hadapan akan dihidupkan selagi dia belum pulang.
"Takkan ibu keluar malam-malam ni.." bisik hatinya.
Beliau terus meninjau ke dalam bilik ibunya. Tubuh ibunya kelihatan di atas katil dalam kegelapan.
"Laaa... tidur rupanya. Ibu! Man dah balik. Kenapa tak bukak lampu?"
Ibunya tidak menjawab. Beliau memetik suis lampu bilik ibunya. Apa yang dilihatnya amat memeranjatkannya. Mata ibunya terbuka memandang siling rumah dengan buih mengalir keluar dari mulutnya. Ibunya telah meninggalkan dunia yang fana ini.
"Ibu!!!!!!!"


"Ya... Itulah kesilapanmu. Aku ke sini untuk membetulkan keadaan agar yang
salah dapat dibetulkan..."
"Apa maksud kau? Aku telah kehilangan segala-galanya. Hidup aku tidak
bermakna lagi!"
"Semua ini takdir Tuhan. Ini tidak bermakna kau boleh mengambil tindakan yang
tiada sandaran agama langsung. Kau tidak seharusnya menjadi seperti ini."
"Biarkanlah aku begini..." Beliau menangis kembali.
"Tidak boleh.Tuhan menghantar aku ke sini untuk melarang kau melakukan
kesalahan yang serupa dengan kesalahan aku dahulu. Tuhan murka dengan
orang yang hilang pedoman dan tidak menerima takdir yang ditentukanNya."
"Apa? Apa maksud kau?"
"Dahulu, aku juga telah melakukan kesalahan serupa dengan kesalahan engkau. Aku hilang pedoman dan mula melawan takdir dengan membalas dendam terhadap setiap rakyat yang menyanjungkan raja zalim. Saudaraku dihukum bunuh tanpa usul periksa olehnya. Lalu aku membunuh mereka yang terlibat. Sekarang aku terseksa dengan perbuatan aku dan Tuhan hendak aku memastikan engkau tidak melakukan kesalahan yang serupa jika aku ingin mendapatkan pengampunanNya."
"Apa kesalahan aku?"
"Kesalahan kau ialah kau merancang untuk membalas demdam terhadap kehilangan ibumu. Kau merancang untuk membunuh gurumu hanya kerana kau merasakan dia bersalah. Kau merasakan bahawa dia yang menyebabkan kau tidak dapat berada di sisi ibumu semasa dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kau merancang untuk membunuh rakan-rakanmu kerana mereka yang menyebabkan kau terpesong jauh sehingga kau menjadi anak yang durhaka. Kau ingin mendapat keadilan dengan membalas dedam. Keadilan yang dicapai dengan darah manusia!"
"Kenapa? Tidak bolehkah? Aku hendak dapatkan pengadilan!!!"
"Pengadilan apa yang kau maksudkan? Membunuh adil? Janganlah kau lakukannya kerana kau akan merana nanti."
"Aku tidak peduliiii!!!!"
"Nasihat aku kepada kau agar jangan teruskan rancanganmu itu. Merana kau nanti. Akan kau terasa seksaan yang amat sangat..."
Asap mula menebal di biliknya. Kamarnya mula menjadi terang. Kelihatan api mula membaham lembaga di hadapannya. Lembaga itu mula merintih kesakitan.
"Apa...... kenapa ni?" tanyanya kebingungan.
"Aku terpaksa kembali ke tempat aku. Masaku di sini telah tamat. Aku.. Ak..Aku
harus pulang ke tempatku..."
"Di mana tempat kau? Jangan pergi dulu..."
"Aku mesti pergi sekarang juga.. Aaargghh!! Panasnya! Aduhh!!!!"
"Hei! Nanti dulu! Siapa engkau sehinggakan boleh jadi begini?"
"Aku.....Ak.....Akkkuuuu........Akulah hulubalang Melaka, Hang Jebat yang
jahanam.....Aaarrrrrggggghhhh!!!!!!"

Beliau tersentak lalu duduk terpaku.
"Kau dah sedar Man?" tanya ayahnya.
"Di.. Di mana Man sekarang yah?" tanyanya yang merasakan kepala berdenyut kuat.
"Kau di bilik dan Ayah jumpa kau terbaring di hujung kaki ibumu. Tadi doktor datang untuk memeriksa kau berdua. Doktor kata kau terkejut amat sangat sehinggakan kau pengsan. Dia kata tekanan darah kau agak rendah sekali dan nadi kau agak lemah. Syukurlah, kau sudah sedar. Suratan takdir.."
"Ibu.. Ibu bagaimana yah?"
"Ibu kau dah tidak ada lagi Man. Doktor kata ibu kau kena sakit pneumonia.
Jantungnya berhenti serta-merta. Allah lebih menyanyanginya Man. Ibu sudah
pergi, takkan kembali..."
"Tidak! Tiiiddaakkkkkk!!!!! Man masih perlukan ibu! Man masih sayangkan ibu!
Ayah! Man nak ibu! Iiiiibbbbuuuu!!!!"
"Mengucap Man. Ini semua kehendak Allah..."

Setiap insan pasti akan pergi. Pergi bertemu dengan Maha Esa. Dalam tangisannya, Beliau terdengar dendangan lagu kegemaran ibunya. Album lagu inilah yang kali terakhir ibunya beli. Sememangnya lirik lagu ini penuh dengan makna. Apatah lagi ibunya memilih lagu ini sejurus sebelum beliau pergi buat selama-lamanya.

"Baiklah tuan-tuan dan puan-puan, sekarang saya akan putarkan lagu permintaan
Puan Samsiah......
"Eh? Ibu?"Beliau tercengang mendengar nama ibunya diutarakan di radio.
"Lagu yang berjudul ‘Pergi Takkan Kembali’ oleh kumpulan Rabbani. Semoga
Puan Samsiah dan anda di sana menikmati lagu ini bersama keluarga yang
tercinta..."


"Setiap insan pastikan merasa saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan hanya amalan yang akan dibawa
Terdengar sayup surah dibaca sayunya alunan suara
Cemas di dada.....lemah tak bermaya terbuka hijab di depan mata
Selamat tinggal pada semua berpsahlah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana baiklah atau sebaliknya
Amalan dan taqwa jadi bekalan Sejahtera, bahagia pulang...ke sana
Sekujur badan berselimut putih rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri apa mungkin pahala dikirim
Terbaring sempit seluas pusara soal-bicara terus bermula
Sesal dan insaf berguna lagi hancurlah jasad dimamah bumi
Berpisah sudah segalanya yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata yang pergi takkan kembali lagi......"

"Ibu........."keluhnya dengan nada yang kesal bersamaan titisan air mata. Lalu Manisah mengambil wuduk dan terus bersembahyang.
Cerpen untuk dikongsi bersama...........



Memori Semalam"
Afizah Abdul Rahim NIE (Townsville)

Menyirap darahku seketika apabila melihat kekejaman itu berlaku di depan mataku. Kalaulah aku ni ringan tangan orangnya, sudah tentu aku akan menampar mukanya. Biarkan dia rasa apa yang ku rasai sekarang kerana perbuatan kejam itu. Tergamak sungguh dia menghalau haiwan kecil itu dengan sebatang penyapu dan mengetuk-ngetuk badannya. Apakah dosa sang haiwan itu mendapat layanan seburuk itu? Kehadirannya di depan pintu rumah mereka hanya sekadar ingin berhenti seketika dan menceriakan suasana pagi yang dingin itu. Kenapa begitu ringan sekali tangan mereka melukakan makhluk Allah yang ku sifatkan paling cantik dan comel ini? Hai, entahlah, adakalanya aku tak faham dengan perangai manusia sekarang. Sudah tidak ada perasaan dan berhati perut langsung agaknya, jeritku sendiri dalam hati. Aku hanya mampu menggeleng kepalaku semasa dalam perjalanan keluar rumah untuk ke sekolah pagi itu. Namun, apa yang ku saksikan tadi akan ku ingat buat selama-lamanya. Api kemarahanku pada mereka masih lagi meluap-luap dalam perjalanan ke sekolah. Manusia kejam!!
Dadaku mula rasa sebak seperti hendak menangis rasanya bila ku teringatkan peristiwa tadi. Hatiku menyumpah dan aku masih lagi geram dengan perbuatan mereka. Aku tahu Mas, mungkin kau akan rasa gelihati atau pelik dengar rintihanku kali ini. Aku tak kisah apa yang sedang kau fikirkan di dalam benakmu. Kau nak cakap aku gila, itupun aku tidak ambil pusing. Aku juga tidak peduli kalau orang lain juga akan ketawa bila mengetahui aku marah dan sebak gara-gara seekor kucing yang tersesat dipukul di hadapan rumah tetanggaku. Tapi, aku yakin kalau mereka itu punya hati dan perasaan, mereka akan mengerti mengapa reaksiku begini.
Kau takkan mengerti mengapa haiwan itu terlalu bermakna dan istimewa di dalam duniaku. Janganlah terkejut dengan kenyataanku ini. Bukannya aku tidak mempunyai kekasih hati untuk dicintai tetapi ia mengajarku mengenali erti sebuah kesetiaan dan persahabatan yang sejati. Terus-terang aku katakan padamu bahawa seekor haiwan yang tidak pernah kita kenali dirinya dan fahami kehadirannya telah membuatku lebih menghargai kehadiran seseorang itu di dalam hidupku. Aku juga belajar bahawa haiwan sepertinya juga punya hati dan perasaan seperti kita. Mereka juga ada perasaan kasih dan sayang serta suka dan duka seperti kita juga . Cuma kita saja yang tak pernah mengendahkan dan menghargai kehadiran mereka. Kita terlalu bangga pada diri kita hingga kita lupa bahawa mereka juga punya hak untuk berada di bumi Allah ini.
Ah, apa pulak yang aku celotehkan pagi-pagi buta ni. Asyik dengan falsafah dan kenyataan yang bertubi-tubi, tapi tidak ada cerita yang konkrit sebagai bukti untuk kau mempercayai kata-kataku ini. Maafkan aku kerana dibuai perasaan emosi tadi. Aku hampir-hampir terlupa untuk menceritakan peristiwa di sebalik pertemuanku dengan seekor kucing yang terus menjadi penunggu setiaku ketika dalam perjalanan ke sekolah setiap hari. Aku sedang mencuba menahan sebak di dada kerana apa yang bakal ku ceritakan padamu ini akan membuka kembali satu kisah yang cukup menyayat hati sepanjang sejarah hidupku. Biarpun ia telah pergi meninggalkanku buat selama-lamanya, namun semua kenangan sewaktu bersama dengannya masih segar di dalam ingatanku. Pertemuan terakhirku dengannya merupakan satu detik yang tidak dapat ku lupakan. Aku masih lagi terbayang-bayangkan tubuh kecil itu hadir setiap kali aku ingin memulakan perjalananku ke sekolah untuk mengajar setiap hari.
Dia hadir dalam hidupku secara kebetulan. Waktu itu, aku sedang mengalami tekanan perasaan akibat perbuatan kekasih lamaku, Azman. Madu yang ku beri, tuba yang dibalas!!Sanggup dia mempermainkan hati dan perasaanku selama ini. Sanggup dia meninggalkanku tanpa sebarang berita dan membiarkanku terkapai-kapai sendiri. Yang paling aku sedih sekali, dia tidak pernah menghargaiku sebagai seorang kekasih. Apakah ini balasanku terhadap segala kejujuran dan kesetiaanku ? Aku menangis sendirian di taman .
Mungkin kerana terlalu asyik menangis, tanpaku sedari, ada sepasang mata yang memandang ke arahku. Dalam diam, ia datang menemaniku yang di dalam kesedihan. Ia terus melompat lalu duduk di sebelahku dan mengiau-ngiau kepadaku. Aku tersentak sebentar dan menoleh ke kanan.
Eh, ada kucing putih kat sebelah!! Comelnya!!aku berkata di dalam hati. Aku pun mula tersenyum dan berhenti menangis. Airmata yang mengalir tadi segera ku kesat dengan sehelai tisu. Hatiku terhibur seketika. Ia mengiau lagi dan terus duduk di ribaku lalu menggosokkan kepalanya ke badanku. Aku tahu ia seekor kucing betina sebab telinga kanannya digunting kerana telah dikembirikan. Aku mengusap-usap kepala dan badannya yang berbulu lebat serta bertompok hitam itu. Ia mengiau lagi. Alahai, hilang kesedihanku tadi bila mendengar suaranya itu! Kemudian, aku diajaknya pula untuk bermain kejar-kejar di bawah blok rumahku. Macam kanak-kanak pula lagakku di masa itu. Aku jadi leka dan lupa tentang kesedihanku tadi keranaasyik melayan kerenah kucing tersebut.
Lama-kelamaan, aku sudah mula dapat menerima kenyataan yang pedih bak sembilu itu dengan hati yang tabah dan terbuka. Aku dapat merasakan bahawa ada hikmah di sebalik peristiwa ini. Biarlah kami berpisah dari terus menderita di kemudian hari. Lagipun, dengar khabar, Azman sudah pun ada penggantiku. Mungkin, dia bukan yang terbaik buatku dan aku pula sudah berteman baru! Aku tersenyum sendiri…
Tidak ku sangka bahawa kucing itu amat senang sekali dengan kehadiranku. Kau tahu tak Mas, setiap hari ia setia menantiku di perhentian bas di hadapan rumahku. Aku sungguh hairan bagaimana ia tahu bila masa aku keluar rumah untuk ke sekolah kerana dia akan duduk di bangku perhentian dan menantiku tepat pada waktunya. Tidak!!Aku bukan mereka-rekakan cerita, tapi ini kenyataan dan aku masih lagi mencari jawapannya. Bila ku tiba, ia akan terus mengiau dan menggosok kakiku dengan kepalanya tanda sayang dan gembira dapat bertemu pagi itu. Ramai juga penumpang yang memerhatikan gelagat kami berdua, tapi aku tidak kisah kerana mungkin ini merupakan satu persahabatan yang unik bagi mereka. Anehnya, aku kadang-kadang seperti berbual dengan kucingku, walaupun ku tahu ia tidak akan menjawab pertanyaanku ! Adakalanya, ia akan terkejar-kejar untuk mendapatkan aku dari jarak jauh sebelum melihatku naik bas. Aku tidak berbohong dengan kau. Ini bukan rekaan imaginasiku, tetapi hakikat yang sebenar!!
Lebih hebat lagi, apabila aku pulang ke rumah dari mengajar sekolah sejak pagi ataupun lewat petang, pasti ia sudah berada di perhentian bas yang sama menungguku. Adakah apa yang ku saksikan selama ini hanyalah satu kebetulan, khayalan atau memang ia dapat merasakan kepulanganku??Aku terasa seperti tuan puteri diapit oleh seorang pengawal. Yang pasti, ia akan tetap menyambutku dengan suara yang nyaring dan terlompat-lompat keriangan bila berjumpa denganku. Macam sepasang kekasih yang sedang hangat bercinta, hati riang bila dapat berjumpa. Jika tidak berjumpa pula, saling cari-mencari!!
Diam tak diam, sudah hampir lima bulan aku berkawan dengan kucing itu. Segalanya sungguh indah, hinggalah berlakunya satu peristiwa aneh di antara kami berdua. Semacam ada sesuatu yang tersembunyi dan tersirat. Di sinilah kemuncak persahabatan kami.
Seperti biasa, kami akan berjumpa di perhentian bas sebelum aku ke sekolah. Namun, pada hari itu, ia begitu dingin terhadapku. Usapan dan sentuhan halus jari-jemariku tidak mendatangkan apa-apa kesan dan reaksi padanya. Ia hanya duduk di bangku taman dan terus membisu. Tiada aksi lincah dan suara manjanya yang selalu bermain di telinga dan mataku. Ia enggan bergerak walaupun seinci. Namun, aku nampak ia merenung tepat di wajahku. Lain benar perangai kucingku kali ini. Sesekali, ia memalingkan muka dari melihatku. Kemudian, aku sedar ada manik-manik halus di bola matanya. Seakan-akan sedang di dalam kesedihan dan kesusahan. Kucing menangis?Tidak mungkin! Aku membiarkan saja ia bersendirian. Sakit agaknya, aku berkata di dalam hati. Tapi kenapa renungannya semacam aje?Kehairanan mengisi hati.
Apabila ku pulang, bayangnya pun tidak kelihatan. Terus ghaib entah ke mana. Sekali lagi, aku diburu resah dan kehairanan. Apa pulak yang telah terjadi ni? Mana kucingku??Aku cuba mencarinya tetapi tidak bertemu. Mungkin, ia bertukar angin agaknya, aku memujuk hati. Dengan hati yang berat, aku melangkah lesu pulang ke rumah. Sebelum menaiki lif, aku sempat menjenguk sekiranya ternampak ia sekilas pandang. Namun, pencarianku hari ini gagal jua.
12 Mar 2001 7.45 pagi `
Seorang pemuda Tionghua menyapaku dari belakang di perhentian bas. "Minta maaf cik kalau menganggu, tetapi cik tahu tak bahawa kucing cik dah mati?", dia mula berbicara pagi itu. Aku jadi bingung dan meradang seketika. "Awak jangan nak main-mainkan saya pulak pagi-pagi ini!", aku membalas kata-katanya tadi. Pagi-pagi sudah hendak buat orang marah. Pandai-pandai nak buat cerita. Mana mungkin kucingku mati, bisikku sendiri.
"Kalau tak percaya, tengoklah sendiri di bawah pokok tu, takkanlah saya nak tipu cik. Saya tahu cik dan kucing tu kawan baik!," dia meneruskan bicara sambil menuding jari ke arah sebatang pokok berhampiran dengan tangga laluan blok rumahku. Tanpa memikir panjang, aku pun dengan segera pergi ke pokok tersebut untuk mengesahkan berita tadi. Jantungku mula berdebar. Benarkah apa yang telah dikatakan oleh pemuda tadi?Aku bertanya sendiri.
Alangkah terkejutnya aku seketika melihat bangkai seekor kucing putih yang bertompok hitam terbaring kaku di bawah pokok itu!Bangkainya dipenuhi lalat dan kedua belah matanya tertutup rapat. Ada sekilas senyuman di wajahnya. Bulunya keras dan sepasang kakinya terlipat rapi. Sah!, itulah kucing kesayanganku!Tapi tak mungkin!, baru aku ……..aku terus lari ke perhentian bas semula dan menaiki bas.
Aku terus menangis di dalam perjalanan ke sekolah pagi itu. Hilang moodku untuk berbual dengan sesiapa. Aku tak dapat menahan sebak di dada dan masih lagi menangis di dalam kelas sewaktu mengajar. Aku terpaksa menceritakan hal yang sebenarnya kepada semua anak muridku yang tahu bahawa aku memang sayangkan pada kucing itu. Ibu bapa mereka juga turut bersimpati denganku. Aku terus menangis hinggalah hati dan perasaanku reda untuk meneruskan pembelajaran hari tersebut. Teman-teman seperguruanku juga turut memujukku supaya bersabar di atas kematian kucing itu. Aku terperanjat sekali. Tetapi hatiku hampa kerana aku berniat untuk memberinya makan pada hari tersebut sebagai tanda terimakasih di atas kebaikannya. Namun, dia telah pergi dulu sebelum sempat aku membalas budinya. Itulah yang membuatku terlalu sedih.

Sahabatku Mas, kini sudah hampir enam bulan ia pergi dari duniaku, namun aku masih lagi rindu akan kehadirannya. Aku masih merasakan bahawa seolah-olah ia masih hidup dan masih setia menantiku setiap waktu. Budinya terlalu banyak untuk ku kenang. Ia lebih berperasaan dari sesetengah manusia yang pernah ku temui sepanjang hidupku. Aku pasrah dan redha di atas pemergiannya. Semoga Allah saja yang membalas budinya padaku. Kerana ia, aku belajar supaya lebih positif dan pandai menilai orang dan menghargai kehadiran mereka dalam hidupku. Biarpun, Allah telah menggantikan aku dengan dua ekor kucing yang baru sebagai gantinya untukku, namun kucingku yang mati itu tetap hidup di jiwa ini. Ia tidak pernah ku lupakan.
Beep!Beep! Alat keluiku sudah pun berbunyi berkali-kali sejak dari tadi. Aku terlalu asyik bercerita dengan kau sehingga aku terlupa menjawab panggilan bakal tunangku. Maklumlah, dah tidak kedengaran suaranya. Biarlah aku berhenti di sini buat seketika.
Sekarang, aku yakin kau sudah mengerti mengapa aku begitu marah sekali denganmu kerana memaling batu kepada seekor kucing di hadapanku minggu lalu. Aku terpaksa mengagahkan diri untuk menulis dan menceritakan padamu kisah sebenar ini. Aku harap kau jadikan kisah hidupku ini sebagai iktibar untuk lebih mensyukuri dan menghargai setiap makhluk Allah di bumi ini. Aku hanya mahu kau tahu bahawa haiwan juga ingikan kasih-sayang seperti kita. Selamat malam , Mas.

Yang benar
Sahabat karibmu
Nooratiqah Md Hakim

Ahad, 29 Mac 2009

Lima situasi gadis berkecil hati -
Ayu Raudhah senaraikan lima situasi gadis berkecil hati 1. Bila kekasih beritahu ada gadis lain suka atau minat dirinya. Awas, biarpun mahu bersikap jujur dan bercerita, ia pasti mengundang rasa cemburu.2. Bila kekasih melayan orang lain...

Arah tuju selepas SPM -
Alhamdulillah penantian terhadap pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) telahpun berakhir, dan kini kalangan remaja lepasan peperiksaan tersebut sudahpun mengetahui keputusan peperiksaan...


Panduan Berkenalan Di Internet -
Nor Hafizah Badarudin kongsi lima panduan berkenalan di internet1. Hati-hati dan bataskan maklumat untuk dikongsi.Sukar menilai keikhlasan dan hati budi rakan yang baru dikenali di internet. Jadi..

Apa yang lelaki mahu? -
Soalan ini pastinya menghantui sebilangan wanita moden sekarang ini yang masih belum mampu memahami suami mahupun teman lelaki mereka.Jika ditanya pada wanita, pasti rata-rata akan menjawab lelaki membingungkan..

Jumaat, 27 Mac 2009

Bagi insan insan yang telah jauh terpesong akidahnya, kembalilah kepangkal jalan.

Kenapa orang melayu menjadi bangsa tercorot????........

Rabu, 25 Mac 2009


Trilogi cinta? Tri maksudnya Segitiga. Logi pula tempat takungan. Trilogi membawa segitiga takungan. Jadi, trilogi cinta bermaksud Segitiga takungan cinta......huh pelik????

i had this guy hanging around for a bit and thought it worked here. hes basically a tiny servant whose job is to keep the important folk dry in the rain. he slithers around on his big tail and and carries with him two big umbrellas. he also has a styling leaf-hat that he uses to collect rainwater and takes a sip form on his breaks
Superman, batman, dan apa apa yang sekutu dengannya andalah mahkluk yang paling bodoh di dunia kerana memakai seluar dalam di luar.........Kita sebagai rakyat malaysia janganlah muda terpengaruh dengan budaya ini kerana ia akan mempengaruhi gaya dan penampilan kita sebagai manusia yang bertamadun.
Apakah kita sudah banyak makan makanan haram walaupun tanpa kita sedari adakah itu halal tau haram.........
Setujukah anda kekafiran membawa kepada kekufuran???
Berkawan ibarat batu loncatan untuk berjaya dan mendapatkan sesuatu yang kita inginkan. siapa kawan anda dan bagaimana anda melayannya sebagai kawan.........
Wanita lebih agresif berbanding lelaki? Anda setuju?..........Sila nyatakan komen anda....
Persahabatan jauh lebih indah dari percintaan, cinta seumpama beramain layang layang, andai putus talinya maka berakhirlah ikatan, persahabatan bagai laut dan pantai,walaupun sering berhempas tetap kekal berdampingan.........

Adakah anda setuju?>>
Tahukah anda?????.........

Antara lelaki dan perempuan, mana satu yang lebih cenderung main kayu tiga???......

Pada pandangan saya perempuan dan lelaki sama sahaja............bagaimana pula dengan pendapat anda?
Perhatian kepada anda semua..........sila padamkan lampu anda pada 8.30 malam,28 Mac 2009 bagi menjayakan program earthhour. Di harap anda akan memberikan segala kerjasama.